Thursday 27 October 2011

KEMAHIRAN BERFIKIR DARI PERSPEKTIF SEJARAH

Zaman Socrates
Ada baiknya kita soroti sedikit kemahiran berfikir dari perspektif sejarah dan kesannya kepada kefahaman tentang konsep KB itu sendiri. Berfikir yang juga dikenali pada mulanya sebagai pemikiran kritis yang juga merangkumi pemikiran kreatif telah mula diberi perhatian istimewa oleh tamadun manusia semenjak zaman Socrates, 2500 tahun dahulu lagi. Dalam menitikberatkan pemikiran kritis dalam kehidupan manusia, Socrates telah berjaya menggunakan keberkesanan soalan untuk menilai dan mempertingkatkan kebolehan seseorang menjana dan memberikan buah fikiran. Socrates telah menyatakan bahawa buah fikiran yang bernas tidak semestinya dihasilkan oleh seseorang yang mempunyai kuasa atau authoriti sahaja. Beliau telah membuktikan bahawa seseorang yang mempunyai kuasa dan kedudukan, kadang-kadang boleh melakukan tindakan yang membingungkan dan tidak diterima akal. Beliau menyarankan betapa pentingnya soalan-soalan aras tinggi yang beliau sebut sebagai ‘deep questions’ diajukan untuk menggalakkan seseorang berfikir secara kritis sebelum satu-satu buah fikiran dapat dan layak diterima pakai.

Dia juga menyatakan betapa pentingnya seseorang berupaya melahirkan hujah yang kukuh sebelum buah fikirannya dapat diterima. Keupayaan ini merangkumi kebolehan melihat secara objektif, mentaakul dan membuat saranan, menganalisa konsep-konsep asas, dan juga menyoroti implikasi bukan sahaja terhadap apa yang dinyatakan tetapi juga apa yang telah dilakukan dengan perbuatan. Metod penyoalan Socrates yang dikenali sebagai “Socratic questioning” atau “Penyoalan Socratic” masih di anggap sebagai satu cara terbaik dalam pengajaran berfikir secara kritis dan kreatif dan masih banyak diamalakan hingga ke hari ini.

Socrates telah memulakan agenda berfikir dengan menggunakan soalan sebagai alat penjanaan idea dan buah fikiran yang mantap. Soalan telah digunakan bila mempertikaikan kepercayaan dan penerangan yang lazimnya diterima oleh masyarakat tanpa usul periksa. Beliau telah dengan cermatnya  mengenalpasti satu-satu kepercayaan itu dari perspektif logik dan diterima akal berbanding dari hanya melihat secara lihiriah dan nampak elok atau secocok dengan perasaan ego yang serasi dengan cita-cita  tersembunyi seseorang. Sesuatu yang berupaya atau dilihat sebagai berpotensi untuk memberi keselesaan dan keseronokan – sekiranya tidak didasarkan kepada hujah, bukti atau asas keyakinan yang kukuh adalah tidak boleh diterima pakai.

Idea Socrates dalam berfikir secara kritis dan kreatif telah disoroti oleh Plato (murid Socrates yang banyak membuat catatan tentang pemikiran Socrates) dan Aristotle (seorang lagi ahli falsafah Greek). Mereka  dan ahli falsafah Greek yang lain menyarankan betapa perlunya manusia berfikir sebelum menerima sesuatu kerana realiti sesuatu  itu mungkin berbeza dari keadaan lahiriahnya – cuma minda yang terlatih  (trained mind) sahaja yang dapat membezakannya apa yang dilihat oleh mata kasar (delusive appearances) dengan apa yang sebenarnya tersirat disebalik kulit luarannya (the deeper realities of life). Bertitik tolak dari saranan tradisi Greek ini, lahir keperluan bagi manusia untuk mencari kebenaran tersembunyi (deeper realities), berfikir secara sistematik, menyoroti implikasi secara meluas dan mendalam – kerana cuma dengan berfikir secara komprehensif, ‘well-reasoned’, dan bersifat responsif terhadap tentangan dan kejanggalan sahaja yang membolehkan manusia berfikir secara mendalam dari cuma menghayati apa yang terpapar pada sifat lahiriah sahaja. Tradisi ini adalah selari dengan apa yang disarankan oleh Islam supaya manusia meneliti kebesaran dan kehebatan Pencipta alam ini disebalik keindahan ciptaanNya yang berupa bintang-bintang, gunung ganang, matahari dan bulan yang sentiasa menakjubkan mereka yang ingin berfikir. Keyakinan yang didasarkan kepada Al-Quran, hadith dan sunnah, ijmak dan ulamak adalah mutlak dan tidak boleh dipersoalkan. Berfikir dalam Islam adalah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ dan tidak bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri.
                  
 Zaman moden
Dalam abad dua puluhan, ramai ahli pendidik, falsafah dan ahli fikir yang lain telah dilahirkan. Kita berterima kasih dengan tokoh-tokoh seperti Guilford, Dewey, Meyers, Beyer, Bloom dan ramai lagi yang telah mendalami dan memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan KB ini. Tokoh-tokoh seperti Benjamin Bloom bersama rakan-rakannya yang lain termasuk Krathwohl telah mendalami konsep penggunaan soalan seperti yang disarankan oleh Socrates dalam menjana KB dengan berlandaskan domain kognitif. Bloom adalah orang yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan istilah ‘aras pemikian’ atau ‘levels of thought processes’. Bloom menyatakan bahawa pemikiran aras tinggi (higher-order thought processes) hanya boleh digembelingkan dengan penggunaan soalan atau objektif pengajaran aras tinggi juga. Bloom juga menyatakan bahawa keghairahan guru menggunakan soalan dan objektif pengajaran aras rendah telah melahirkan pelajar-pelajar yang tidak kreatif atau kritis. Ini berlaku kerana guru tidak sedar tentang kepentingan penggunaan soalan dan objektif pengajaran aras tinngi bagai menjana pemikran kritis di kalangan pelajar.

                 Krathwohl dalam usaha lain telah menghasilkan satu taksonomi yang memberi pemberatan kepada unsur atau domain afektif dalam proses berfikir. Konsep tentang kepentingan domain afektif dalam kejayaan kehidupan seseorang telah dikhususi pula oleh penyelidik mutakir seperti Daniel Goleman yang menyarankan konsep yang dikenali sebagai ‘EQ’ atau ‘Emotional Intelligence’ (Kecerdasan Emosi) yang menurutnya memainkan peranan yang lebih penting dalam menjana satu-satu kejayaan. Menurutnya “80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ dan bukan IQnya” (Goleman, 1998). Kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankannya keatas beribu-ribu orang ahli professional berjaya dalam lapangan masing-masing. Konsep EQ yang diperkenalkan oleh Goleman mempunyai keselarian dari segi konsep dan penekananan dengan domain afektif seperti yang diutarakan oleh Krathwohl dalam taksonomi domain afektifnya.

KONSEP DAN DEFINISI KEMAHIRAN BERFIKIR

PENGENALAN 

Manusia yang dicipta oleh tuhan sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurnialan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal).  Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal. 

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ atau hati manusia. Hati adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah,kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai hati yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian hati (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan hatinyanya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak. Kemahiran mengggunakan buah fikiran yang baik dan berguna inilah yang bakal mengangkat darjat “keinsanan manusia berbanding haiwan”. Sejarah membuktikan bahawa manusia bertindak tanpa menggunakan akal dan buah fikirannya boleh terjerumus de dalam darjat kehaiwanan, bahkan lebih dahsyat daripada itu.

  Keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh manusia ada kaitan dengan kemahiran berfikir. Sekiranya keputusan dan tindakan itu membawa natijah positif kepada dirinya dan orang lain, ia dikatakan keputusan yang berhikmah dan bijaksana. Sebaliknya, jika keputusan tidak bermanfaat kepada diri, orang lain dan alam sekelilingnya, keputusan itu dikatakan tidak bijak atau tidak berhikmah.        

Monday 24 October 2011

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi


PENGENALAN Pemikiran Aras Tinggi (KBAT/HOT) merupakan salah satu komponen utama dalam kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. KBAT merupakan aras yang paling tinggi dalam hieraki proses kognitif. Ianya berlaku apabila seseorang mendapat maklumat baru, menyimpan dan memeri, menyusun, serta mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada dan akan memanjangkan maklumat itu untuk mencapai sesuatu tujuan atau penyelesaian situasi rumit. Bereiter & Scardamalia (1987) – dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, pelajar perlu dilatih mengambil bahagian dalam menentukan objektif, mewujudkan wacana, menentukan tindakan motivasi, analitik dan inferens yang dinamakan ‘literasi tinggi’ (highliteracy).
KBAT Tiga jenis KBAT yang penting:
a) Menjana – menjanakan alternatif, dan kombinasi idea
b) Menjelaskan idea – menjelaskan idea dan menganalisis alasan
c) Menilai kemusabahan idea – Menilai maklumat asas, menilai inferensi (kegunaan bukti), dan menilai inferensi ( deduksi) 

CARA PENGAJARAN Pendekatan mengajar KBAT ialah
1) Mengajar KBAT – dalam konteks secara langsung di luar kurikulum.
2) Mengajar berfikir – menggunakan kaedah yang menggalakkan berfikir dalam konteks kurikulum
3) Penyebatian – menyusun semula pengajaran untuk mengajar KBAT secara eksplisit

Strategi yang boleh digunakan dalam penggunaan KBAT ialah seperti:
1) Soalan terbuka
2) Teknik Penyoalan
3) Perbincangan
4) Metakognisi
5) Pengurusan Grafik
6) Kaedah Penyelesaian masalah

Konsep Kemahiran Berfikir

Definisi yang sesuai untuk kemahiran berfikir masih dipertikaikan kerana kebanyakan tokoh mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Walaupun tafsiran tentang pemikiran itu berbeza-beza, namun secara amnya kebanyakan tokoh pemikir bersetuju bahawa pemikiran dapat dikaitkan dengan proses menggunakan minda untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Dapatlah dirumuskan bahawa:
Pemikiran ialah proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan dan membuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat refleksi dan metakognisi terhadap proses yang dialami,

Berfikir secara umumnya merupakan satu proses kognitif, satu tindakan mental di mana ilmu pengetahuan diperolehi. Mengikut Rajendran (2008), berfikir melibatkan lebih daripada memahami maklumat yang diberikan. Berfikir melibatkan manipulasi mental bagi input sensori untuk memformulasikan permikiran, menaakul  atau menilai situasi. Ini merupakan proses aktif dan dinamik yang melibatkan pelbagai operasi mental. 

Antara tujuan KBKK digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk membolehkan pelajar:
  • mendapat latihan berfikir secara kritis dan kreatif untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijak
  • mengaplikasikan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir secara lebih praktik sama ada di dalam atau di luar sekolah
  • menghasilkan idea atau ciptaan yang kreatif dan inovatif
  • mengatasi kesilapan-kesilapan berfikir yang terburu-buru, bercelaru, kabur dan sempit
  • meningkatkan aspek kognitif dan afektif, dan seterusnya perkembangan intelek mereka
  • bersikap terbuka dalam menerima dan memberi pendapat, membina keyakinan diri untuk memberi hujah, membuat pertimbangan berdasarkan alasan dan bukti, serta berani memberi pandangan dan kritik.