Thursday 27 October 2011

KEMAHIRAN BERFIKIR DARI PERSPEKTIF SEJARAH

Zaman Socrates
Ada baiknya kita soroti sedikit kemahiran berfikir dari perspektif sejarah dan kesannya kepada kefahaman tentang konsep KB itu sendiri. Berfikir yang juga dikenali pada mulanya sebagai pemikiran kritis yang juga merangkumi pemikiran kreatif telah mula diberi perhatian istimewa oleh tamadun manusia semenjak zaman Socrates, 2500 tahun dahulu lagi. Dalam menitikberatkan pemikiran kritis dalam kehidupan manusia, Socrates telah berjaya menggunakan keberkesanan soalan untuk menilai dan mempertingkatkan kebolehan seseorang menjana dan memberikan buah fikiran. Socrates telah menyatakan bahawa buah fikiran yang bernas tidak semestinya dihasilkan oleh seseorang yang mempunyai kuasa atau authoriti sahaja. Beliau telah membuktikan bahawa seseorang yang mempunyai kuasa dan kedudukan, kadang-kadang boleh melakukan tindakan yang membingungkan dan tidak diterima akal. Beliau menyarankan betapa pentingnya soalan-soalan aras tinggi yang beliau sebut sebagai ‘deep questions’ diajukan untuk menggalakkan seseorang berfikir secara kritis sebelum satu-satu buah fikiran dapat dan layak diterima pakai.

Dia juga menyatakan betapa pentingnya seseorang berupaya melahirkan hujah yang kukuh sebelum buah fikirannya dapat diterima. Keupayaan ini merangkumi kebolehan melihat secara objektif, mentaakul dan membuat saranan, menganalisa konsep-konsep asas, dan juga menyoroti implikasi bukan sahaja terhadap apa yang dinyatakan tetapi juga apa yang telah dilakukan dengan perbuatan. Metod penyoalan Socrates yang dikenali sebagai “Socratic questioning” atau “Penyoalan Socratic” masih di anggap sebagai satu cara terbaik dalam pengajaran berfikir secara kritis dan kreatif dan masih banyak diamalakan hingga ke hari ini.

Socrates telah memulakan agenda berfikir dengan menggunakan soalan sebagai alat penjanaan idea dan buah fikiran yang mantap. Soalan telah digunakan bila mempertikaikan kepercayaan dan penerangan yang lazimnya diterima oleh masyarakat tanpa usul periksa. Beliau telah dengan cermatnya  mengenalpasti satu-satu kepercayaan itu dari perspektif logik dan diterima akal berbanding dari hanya melihat secara lihiriah dan nampak elok atau secocok dengan perasaan ego yang serasi dengan cita-cita  tersembunyi seseorang. Sesuatu yang berupaya atau dilihat sebagai berpotensi untuk memberi keselesaan dan keseronokan – sekiranya tidak didasarkan kepada hujah, bukti atau asas keyakinan yang kukuh adalah tidak boleh diterima pakai.

Idea Socrates dalam berfikir secara kritis dan kreatif telah disoroti oleh Plato (murid Socrates yang banyak membuat catatan tentang pemikiran Socrates) dan Aristotle (seorang lagi ahli falsafah Greek). Mereka  dan ahli falsafah Greek yang lain menyarankan betapa perlunya manusia berfikir sebelum menerima sesuatu kerana realiti sesuatu  itu mungkin berbeza dari keadaan lahiriahnya – cuma minda yang terlatih  (trained mind) sahaja yang dapat membezakannya apa yang dilihat oleh mata kasar (delusive appearances) dengan apa yang sebenarnya tersirat disebalik kulit luarannya (the deeper realities of life). Bertitik tolak dari saranan tradisi Greek ini, lahir keperluan bagi manusia untuk mencari kebenaran tersembunyi (deeper realities), berfikir secara sistematik, menyoroti implikasi secara meluas dan mendalam – kerana cuma dengan berfikir secara komprehensif, ‘well-reasoned’, dan bersifat responsif terhadap tentangan dan kejanggalan sahaja yang membolehkan manusia berfikir secara mendalam dari cuma menghayati apa yang terpapar pada sifat lahiriah sahaja. Tradisi ini adalah selari dengan apa yang disarankan oleh Islam supaya manusia meneliti kebesaran dan kehebatan Pencipta alam ini disebalik keindahan ciptaanNya yang berupa bintang-bintang, gunung ganang, matahari dan bulan yang sentiasa menakjubkan mereka yang ingin berfikir. Keyakinan yang didasarkan kepada Al-Quran, hadith dan sunnah, ijmak dan ulamak adalah mutlak dan tidak boleh dipersoalkan. Berfikir dalam Islam adalah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ dan tidak bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri.
                  
 Zaman moden
Dalam abad dua puluhan, ramai ahli pendidik, falsafah dan ahli fikir yang lain telah dilahirkan. Kita berterima kasih dengan tokoh-tokoh seperti Guilford, Dewey, Meyers, Beyer, Bloom dan ramai lagi yang telah mendalami dan memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan KB ini. Tokoh-tokoh seperti Benjamin Bloom bersama rakan-rakannya yang lain termasuk Krathwohl telah mendalami konsep penggunaan soalan seperti yang disarankan oleh Socrates dalam menjana KB dengan berlandaskan domain kognitif. Bloom adalah orang yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan istilah ‘aras pemikian’ atau ‘levels of thought processes’. Bloom menyatakan bahawa pemikiran aras tinggi (higher-order thought processes) hanya boleh digembelingkan dengan penggunaan soalan atau objektif pengajaran aras tinggi juga. Bloom juga menyatakan bahawa keghairahan guru menggunakan soalan dan objektif pengajaran aras rendah telah melahirkan pelajar-pelajar yang tidak kreatif atau kritis. Ini berlaku kerana guru tidak sedar tentang kepentingan penggunaan soalan dan objektif pengajaran aras tinngi bagai menjana pemikran kritis di kalangan pelajar.

                 Krathwohl dalam usaha lain telah menghasilkan satu taksonomi yang memberi pemberatan kepada unsur atau domain afektif dalam proses berfikir. Konsep tentang kepentingan domain afektif dalam kejayaan kehidupan seseorang telah dikhususi pula oleh penyelidik mutakir seperti Daniel Goleman yang menyarankan konsep yang dikenali sebagai ‘EQ’ atau ‘Emotional Intelligence’ (Kecerdasan Emosi) yang menurutnya memainkan peranan yang lebih penting dalam menjana satu-satu kejayaan. Menurutnya “80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ dan bukan IQnya” (Goleman, 1998). Kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankannya keatas beribu-ribu orang ahli professional berjaya dalam lapangan masing-masing. Konsep EQ yang diperkenalkan oleh Goleman mempunyai keselarian dari segi konsep dan penekananan dengan domain afektif seperti yang diutarakan oleh Krathwohl dalam taksonomi domain afektifnya.

0 comments:

Post a Comment