Thursday 27 October 2011

KONSEP DAN DEFINISI KEMAHIRAN BERFIKIR

PENGENALAN 

Manusia yang dicipta oleh tuhan sebagai khalifah atau pemimpin di muka bumi ini mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Kelebihan dan keistimewaan ini ialah kerana manusia dikurnialan akal. Akal fikiranlah yang membezakan secara kualitatif, di antara manusia dan haiwan. Akal atau minda adalah sumber ilmu intelek (intellectual knowledge) yang menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan pentaakulan minda (akal).  Akal adalah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Akal adalah merupakan kurniaan Allah S.W.T. yang sangat berharga kepada hambaNya. Melaluinya manusia boleh membuat pentaakulan (rationalize), membentuk konsep (conceptualize), dapat memahami (comprehend) dan sebagainya. Untuk memiliki sifat ‘hikmah’ (wisdom), seseorang perlulah menjalani latihan penajaman minda dan pendidikan pembersihan akal. 

Di samping dikaitkan dengan otak, hikmah juga dikaitkan dengan ‘qalbu’ atau hati manusia. Hati adalah sumber ilmu yang menghasilkan pengetahuan melalui ilham, taufiq dan hidayah (bisikan hati dan suara qalbu). Pemberian Allah S.W.T. kepada seseorang kerana bersihnya hati yang dimiliki. Hati mempunyai keupayaan pentaakulan dan daya faham seperti kemampuan akal, boleh mengesani dan menemui kebenaran. Pengetahuan yang diperolehi melalui mata hati dapat membezakan yang benar dari yang palsu, yang betul dari yang salah,kebaikan dari keburukan. Untuk memperolehi pengetahuan bersumberkan hati, seseorang itu perlu mempunyai hati yang suci dan ini dapat dicapai melalui latihan penyucian hati (purification of the heart). Sekiranya manusia dapat menggunakan akal dan hatinyanya dalam mengeluarkan buah fikiran, maka ia dikira sebagai telah menggunakan akalnya dengan bijak. Kemahiran mengggunakan buah fikiran yang baik dan berguna inilah yang bakal mengangkat darjat “keinsanan manusia berbanding haiwan”. Sejarah membuktikan bahawa manusia bertindak tanpa menggunakan akal dan buah fikirannya boleh terjerumus de dalam darjat kehaiwanan, bahkan lebih dahsyat daripada itu.

  Keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuat oleh manusia ada kaitan dengan kemahiran berfikir. Sekiranya keputusan dan tindakan itu membawa natijah positif kepada dirinya dan orang lain, ia dikatakan keputusan yang berhikmah dan bijaksana. Sebaliknya, jika keputusan tidak bermanfaat kepada diri, orang lain dan alam sekelilingnya, keputusan itu dikatakan tidak bijak atau tidak berhikmah.        

0 comments:

Post a Comment